Category: News
PERSEDIAAN UNTUK SEMESTER 1, SIDANG AKADEMIK 2020/2021 SEBAGAI PANDUAN KEPADA PELAJAR PUSAT PENGAJIAN KEJURUTERAAN BAHAN DAN SUMBER MINERAL UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
1. Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar PPK BSM yang telah melalui semester II, Sidang Akademik 2019/2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pandemik COVID-19 dengan penuh tabah, dedikasi dan kesabaran.
2. Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran dalam sesi berbentuk talian bukanlah suatu situasi yang mudah. Namun, saya amat bersyukur kerana sinergi pengajaran dan pembelajaran dalam talian telah berjaya memberikan satu pengalaman pembelajaran baru dan juga diharapkan ianya juga berkesan.
3. Melalui pengalaman ini, USM dan Pusat Pengajian telah bersetuju untuk melaksanakan pembelajaran secara teradun mulai Semester I, Sidang Akademik 2020/2021. Ini bermakna semua program akan mencari kaedah terbaik kombinasi antara pengajaran & pembelajaran bersemuka (F2F) dan secara dalam talian.
4. Semua pelajar perlu mendaftar secara dalam talian bermula pada 11 September 2020 sehingga 8 Oktober 2020. Bagi pelajar yang tidak dapat mendaftar secara dalam talian, sila berhubung dengan pejabat am PPKBSM.
5. Sesi pembelajaran Semester I, Sidang Akademik 2020/2021 akan bermula pada 12 Oktober 2020, secara dalam talian atau secara bersemuka. Saya pohon semua pelajar PPKBSM untuk merujuk kepada jadual waktu kuliah yang akan dikeluarkan nanti.
6. Sesi pembelajaran bagi pelajar tahun Dua, Tiga dan Akhir akan dijalankan secara atas talian. Namun pelajar tahun akhir dibenarkan untuk kembali ke kampus menjalani pembelajaran secara F2F pada 26 Oktober 2020. Manakala pelajar tahun Dua dan Tiga hanya akan kembali ke kampus untuk sesi pembelajaran secara F2F bermula pada 7 Disember 2020. (Selepas Cuti Pertengahan Semester). Sila rujuk infografik yang dilampirkan.
7. Bagi pelajar yang mempunyai masalah untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian anda boleh memohon untuk kembali ke kampus lebih awal.
8. Semua urusan penempatan di desasiswa perlu dijalankan dengan pihak Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPA) dan pengurusan Desasiswa.
9. Jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai hal akademik, sila hubungi En. Mohd Hafiz Ali di talian 0125318364 atau hafiz_ali@usm.my.
10. Pusat Pengajian juga berharap semua pelajar dapat meneruskan komunikasi dengan Penasihat Akademik masing-masing bagi menyusun atur pembelajaran.
11. Mulai Semester I, Sidang Akademik 2020/2021, semua pelajar perlulah mempunyai peranti (device) masing-masing supaya pembelajaran dalam talian boleh berjalan lancer. Sekiranya anda menghadapi masalah mengenai perkara ini, sila berurusan dengan Timbalan Dekan Akademik PPKBSM.
12. Selamat maju jaya serta selamat memulakan pengajian semula. Selamat kembali ke kampus dan anda semua dinasihatkan untuk terus mengamalkan semua SOP supaya kita berjaya menang melawan ancaman COVID19.Dikeluarkan oleh Pejabat Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM.
USM-JMG METERAI PERSEFAHAMAN BANGUNKAN LEMBAH LENGGONG SEBAGAI GEOPARK KEBANGSAAN
LENGGONG, PERAK, 7 September 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus diberi kepercayaan bagi membangunkan sosioekonomi dan nilai warisan negara apabila menjadi pilihan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk berkolaborasi memperkasakan kajian saintifik di Lembah Lenggong bagi memastikan lokasi warisan tersebut diangkat sebagai Geopark Kebangsaan di negara ini.
Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara USM dan JMG, kedua-dua pihak akan bekerjasama merencanakan perancangan strategik bagi memastikan tercapainya aspirasi kerajaan negeri Perak mendapat pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan di negara ini seterusnya UNESCO dalam beberapa tahun akan datang.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, usaha ini akan melibatkan kepakaran empat Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM yang bakal berganding bahu bersama JMG bagi merealisasikan matlamat tersebut iaitu Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Sains Fizik dan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS).
“Gandingan keempat-empat PTJ ini bakal memfokuskan kajian lebih mendalam aspek geologi, geofizik, kejuruteraan sumber mineral, geokimia, sains samudera dan geologi warisan di Lembah Lenggong bagi mengumpul maklumat dan kriteria yang diperlukan bersama JMG dalam usaha mengangkat lokasi warisan tersebut sebagai Geopark Kebangsaan,” katanya ketika hadir mewakili Naib Canselor bagi pertukaran dokumen persefahaman di antara USM dan JMG di Seminar Aspirasi Lenggong Geopark yang dirasmikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, USM sentiasa bersedia berkongsi apa juga kepakaran dimiliki kepada pihak yang ingin memperkasakan sosioekonomi dan nilai warisan di negara ini, apatah lagi dengan pembabitan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM yang telah sekian lama menjalankan penyelidikan di Lembah Lenggong sehingga menemui nilai sejarah yang cukup berharga di Bukit Bunuh.
Pada majlis yang sama, Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, kerjasama bersama USM ini memperlihatkan sejumlah RM450,000 diperuntukkan buat USM untuk menjalankan penyelidikan terperinci di Lembah Lenggong seterusnya memastikan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan tercapai pada tahun 2021.
“Pihak JMG sentiasa bertekad untuk membangunkan sumber-sumber geologi, sama ada dalam pentuk sumber kepelbagaian geologi seperti landskap dan meteorologi batuan, proses-proses geologi ataupun fosil yang terdapat di negara ini untuk kita pasarkan sebagai aset sumber pelancongan semulajadi negara ke arah aspirasi wilayah pembangunan geopark bertaraf kebangsaan dan global pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, melalui kerjasama tenaga pakar dari USM ini, ia akan menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke Lenggong seterusnya menyediakan peluang kepada komuniti setempat menerokai peluang ekonomi sebagai pengusaha hasilan produk-produk Geopark dan aktiviti Geopelancongan.
Yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Tuan Ali Biju; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Jawatankuasa Komuniti Multimedia, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Ahli Dewan Undangan Negeri Perak untuk Kenering, Dato’ Hj. Mohd Tarmizi Hj. Idris; Pelaksana Geopark Kebangsaan/Naib Presiden UNESCO Global Geopark, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo; Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM, Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
USM CIPTA MINI KIOSK CETAK PLASTIK TERPAKAI, DIDIK KOMUNITI KITAR SEMULA PLASTIK TERBUANG
BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 19 September 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasakan inovasi bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kitaran semula bahan plastik melalui ciptaan Mini Kiosk Percetakan Plastik Terpakai yang terbukti mampu menghasilkan semula barangan berguna untuk komuniti.
‘Mini Circular Economy Manufacturing Kiosk: For Community Plastic Recycling’ hasil ciptaan pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral(PPKBSM) USM, Profesor Dr. Zulkifli Mohamad Ariff itu mampu menghasilkan pelbagai produk yang dikitar semula melalui plastik terbuang untuk kegunaan komuniti.
Mini kiosk itu didapati mampu menghasilkan produk akhir menggunakan plastik terbuang sepantas 30 minit sehingga 2 jam bergantung kepada kompleksiti dan kehalusan cetakan yang ditetapkan oleh pengguna.
Ketika ditemui, Zulkifli yang juga Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPKBSM USM berkata, mini kiosk ciptaan beliau itu adalah kombinasi beberapa proses industri menjadi satu di dalam mesin tersebut supaya penghasilannya lebih mudah, selamat dan pantas dari awal hingga ke proses akhir pengeluaran produk.
“Mesin ini menggabungkan tiga proses bermula dengan ‘plastic shredder’, ‘Screw Extruder’ dan terus melalui ‘3D Printer’ berdasarkan reka letak yang ditetapkan oleh pengguna dengan menggunakan perisian khas menghasilkan model 3D untuk penghasilan produk akhir,” jelas beliau.
Tambah Zulkifli yang pakar di dalam bidang ‘Polymer Rheology dan Polymeric Foams’, inovasi mini kiosk tersebut hanya mengambil masa dua bulan untuk dihasilkan bersama-sama pasukan beliau, antara tujuan utama untuk mendidik komuniti mengenai kesedaran menjaga alam sekitar yang semakin kritikal pada masa kini, terutamanya pembuangan sisa plastik tanpa kawalan dan penguatkuasaan.
“Keutamaan saya dalam inovasi ini adalah berfokuskan mendidik dan membimbing komuniti setempat supaya mereka mampu mengenalpasti jenis plastik terbuang, memperkasakan ilmu pengetahuan sisa plastik melalui pembelajaran dan pengalaman, apa tindakan yang perlu diambil, seterusnya menjadikan mini kiosk ini sebagai penyelesaian kepada masalah sehingga terhasilnya produk akhir yang bermanfaat.
“Jika mini kiosk ini mampu disebar luas kepada komuniti, saya percaya komuniti akan lebih kreatif dan berminat menggunakan mesin tersebut untuk menghasilkan pelbagai produk berguna, apatah lagi ia mampu menjana ekonomi setempat melalui keberhasilan pelbagai produk, dan pada masa yang sama mengurangkan bebanan kos pelupusan sisa plastik di negara ini,” katanya di majlis Pelancaran Mini Kiosk Percetakan Plastik Terpakai USM yang pertama di Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Jelas beliau lagi, melalui mini kiosk ini juga pihaknya mampu melaksanakan kajian sosial terhadap kesedaran komuniti mengenai aktiviti kitar semula plastik dan di samping itu dapat membantu penguatkuasaan yang memerlukan masyarakat di negara ini mengasingkan bahan buangan plastik di rumah.
“Apa yang menggembirakan saya dan pasukan terlibat, walaupun tiada geran penyelidikan untuk melaksanakan inovasi ini dan hanya gabungan pengalaman dan pengetahuan serba sedikit oleh pasukan penyelidik, mini kiosk ini telah menarik minat Datuk Bandar Seberang Perai, Dato’ Sr. Hj. Rozali Hj. Mohamud dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memberi kerjasama sepenuhnya menjayakan produk tersebut,” katanya lagi.
Yang turut hadir ke majlis pelancaran adalah Datuk Bandar Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Hj. Rozali Hj. Mohamud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh; Setiausaha Bandaraya, Ir. Hjh. Rosnani Mahmod; Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd (mewakili Naib Canselor USM); dan pegawai-pegawai utama MBSP.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
LAWATAN PEMERIKSA LUAR MOD CAMPURAN (PROGRAM SARJANA SAINS -KEJURUTERAAN BAHAN)
2-3 September 2020- Pemeriksa luar bagi program Sarjana Sains (Kejuruteraan Bahan) Mod campuran, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Omar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia telah melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral. Lawatan ini adalah bersempena sesi viva bagi 7 orang pelajar Sarjana Sains (Kejuruteraan Bahan) Mod campuran yang diadakan selama 2 hari.
TALK ON ‘WRITING A RESEARCH ARTICLE’
A sharing session on ‘Writing a research article’ has been conducted by Prof Ir. Dr Mariatti Jaafar on 17 September 2020. The sharing session was held at the Seminar room, School of Materials & Mineral Resources Engineering, USM. In the session, Prof Mariatti has explained on step-by-step guide to write a good research article. It is believed that the postgraduate students have obtained useful knowledge on how to prepare a good research article including procedures involve in submission and reviewing process.
SEMINAR ON ‘PUBLICATION STATEGY’
A seminar on ‘Publication Strategy’ has been conducted by Assoc. Prof. Dr Ahmad Azmin Mohamad on 28 August 2020. The sharing session was held at the Computer Lab, School of Materials & Mineral Resources Engineering, USM. In the hands-on session, Assoc. Prof. Dr Ahmad Azmin showed strategies to get publish in good journal with the hope that the research will bring maximum impact to the scientific community. It is believed that the postgraduate students have obtained useful knowledge on how to evaluate the journal quality, select relevant journals, and identify predatory journals.