![](https://geosmmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2021/06/dsm03.jpg?w=816)
Perlombongan dasar laut bukan lagi asing bagi negara-negara maju seperti China, Jepun, Korea, Perancis dan sebagainya.
Perlombongan dasar laut yang dimaksudkan bukanlah bagi petroleum minyak dan gas, tetapi galian seperti mineral-mineral berlogam.
Sebenarnya, sebahagian besar dasar laut yang ada di dunia pada masa kini berada di bawah seliaan International Seabed Authority (ISA) yang berpangkalan di Jamaica. ISA ialah badan autonomi yang diwujudkan pada tahun 1982 di bawah UNCLOS dan disertai 168 negara, termasuklah Malaysia.
![](https://geosmmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2021/06/clarion01.jpg?w=1024)
Berdasarkan UNCLOS, perairan yang berada luar daripada had sempadan maritim yang boleh dituntut, atau disebut laut lepas, ia diisytiharkan sebagai zon warisan sejagat di bawah seliaan ISA tadi.
Pada masa kini, terdapat 3 jenis mineral yang dilombong di zon warisan sejagat ini iaitu
- Nodul polimetalik
- Sulfida polimetalik
- Kerak feromangan kaya kobalt
Kewujudan setiap mineral ini bergantung kepada kedudukan kawasan. ISA mengehadkan luas penjelajahan maksima oleh satu-satu kontraktor. Contohnya 75,000 km persegi per kontraktor bagi nodul polimetalik.
![](https://geosmmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2021/06/dsm02.png?w=1024)
Terdapat 5 kawasan laut lepas yang sedang dieksplorasi bagi mineral-mineral di atas. Yang paling utama, paling luas dan paling ramai kontraktor ialah Zon Clarion-Clipperton di Lautan Pasifik.
Kalau ikut peta, zon ini ialah kawasan laut lepas Kepulauan Hawaii.
![](https://geosmmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2021/06/clarion02.jpg?w=1024)
Zon Clarion-Clipperton ialah kawasan yang mempunyai rizab nodul polimetalik di mana komposisi utamanya ialah Mn, Fe, silikat, hidroksida beserta unsur-unsur surih seperti Ni, Cu, Co, Mn dan REE.
Selain negara-negara maju, negara-negara seperti Kiribati, Nauru, Jamaica dan Poland turut menjadi kontraktor penjelajahan di zon ini dengan kontrak 15 tahun.
![](https://geosmmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2021/06/dsm.png?w=776)
Apa yang menarik ialah, negara jiran kita, Singapura melalui Ocean Mineral Singapore Pte Ltd juga menjadi salah satu kontraktor penjelajahan mineral dasar laut di Zon Clarion-Clipperton. Ini sebenarnya menjadi tamparan juga buat Malaysia yang sebenarnya mempunyai sejarah aktiviti carigali dan perlombongan yang lebih lama (walaupun di darat).
Kemungkinan faktor kekangan yang ada ialah polisi kerajaan, perundangan, keupayaan teknologi dan juga dana atau peruntukan. Apa-apapun, sebagai sebuah negara maritim, kita seharusnya sentiasa ada iltizam dan usaha berterusan yang menjurus ke arah mengupayakan industri perlombongan dasar laut.
![](https://geosmmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2021/06/exploration01.jpg?w=1024)
Kita tutup dulu buku berkaitan perlombongan dasar laut di wilayah maritim sejagat ni.
Di Benua Sunda atau Sundaland, bijih timah termasuk di Semenanjung Malaysia berasal daripada pemineralan semasa rejahan granit jenis S sekitar usia Trias Akhir. Antara Trias Akhir hingga Pleistosen, peluluhawaan menyebabkan timah primer ini mengalami pengendapan sekunder di bahagian hiliran sungai atau kaki bukit.