RCM KE-14 DAN MAMIP KE-4, MEDIUM PERKONGSIAN IDEA DAN RANGKAIAN PENYELIDIKAN KOLABORATIF BIDANG BAHAN
NIBONG TEBAL, 2 Disember 2021 – AUN/SEED-Net Regional Conference on Materials kali ke-14 dan International Postgraduate Conference on Materials, Minerals and Polymer kali ke-4 (14th RCM & 4th MAMIP 2021) merupakan medium terbaik perkongsian idea dan rangkaian penyelidikan kolaboratif.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim, persidangan ini berjaya menghimpunkan pelajar, penyelidik, ahli akademik serta pelbagai pihak lain yang berminat untuk melibatkan diri di dalam kajian sambil berkongsi perspektif, idea dan pengalaman mereka tentang penyelidikan mahupun inovasi terbaharu masing-masing.
“Universiti Sains Malaysia (USM) melalui PPKBSM selaku penganjur persidangan, sangat mengalu-alukan kedatangan 120 peserta dari seluruh ASEAN ke acara akademik yang merangkumi beberapa bidang tematik seperti Advanced Materials, Biomaterials, Nanomaterials dan Functional Materials ini,” kata Syed.
“Seperti yang kita sedia maklum, penemuan dalam bidang bahan khususnya, pada hari ini adalah amat penting serta berfaedah untuk Malaysia di mana kemajuan serta teknologi inovatif akan memberi kesan langsung serta positif kepada pertumbuhan ekonomi, alam sekitar dan kualiti hidup semua,” tambah beliau.
“Selain daripada itu, bidang ini juga menawarkan medium sokongan paling penting yang boleh membawa kepada spektrum luas kepada produk-produk inovatif baharu dan ini adalah sejajar dengan tema persidangan kita pada kali ini iatu “Emerging Materials for Future Technology “,” tambah Syed lagi.
Bagi Pengerusi persidangan, Profesor. Ir. Dr. Mariatti Jaafar pula, beliau berharap agar persidangan selama dua hari ini membuahkan hasil untuk semua pihak terutamanya kepada lima pengucaptama, seorang penceramah industri, 86 pembentang lisan dan juga 27 pembentangan poster yang terlibat.
“Semoga dengan pembentangan serta penemuan baharu yang telah dibentangkan di dalam persidangan ini akan mencetuskan idea-idea baharu yang pastinya dapat mengukuhkan lagi kajian masing-masing demi manfaat bersama kelak,” kata Mariatti.
Teks: Siti faizah Abd Halim