USM CIPTA MINI KIOSK CETAK PLASTIK TERPAKAI, DIDIK KOMUNITI KITAR SEMULA PLASTIK TERBUANG

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 19 September 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasakan inovasi bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kitaran semula bahan plastik melalui ciptaan Mini Kiosk Percetakan Plastik Terpakai yang terbukti mampu menghasilkan semula barangan berguna untuk komuniti.

‘Mini Circular Economy Manufacturing Kiosk: For Community Plastic Recycling’ hasil ciptaan pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral(PPKBSM) USM, Profesor Dr. Zulkifli Mohamad Ariff itu mampu menghasilkan pelbagai produk yang dikitar semula melalui plastik terbuang untuk kegunaan komuniti.

Mini kiosk itu didapati mampu menghasilkan produk akhir menggunakan plastik terbuang sepantas 30 minit sehingga 2 jam bergantung kepada kompleksiti dan kehalusan cetakan yang ditetapkan oleh pengguna.

Ketika ditemui, Zulkifli yang juga Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPKBSM USM berkata, mini kiosk ciptaan beliau itu adalah kombinasi beberapa proses industri menjadi satu di dalam mesin tersebut supaya penghasilannya lebih mudah, selamat dan pantas dari awal hingga ke proses akhir pengeluaran produk.

“Mesin ini menggabungkan tiga proses bermula dengan ‘plastic shredder’, ‘Screw Extruder’ dan terus melalui ‘3D Printer’ berdasarkan reka letak yang ditetapkan oleh pengguna dengan menggunakan perisian khas menghasilkan model 3D untuk penghasilan produk akhir,” jelas beliau.

Tambah Zulkifli yang pakar di dalam bidang ‘Polymer Rheology dan Polymeric Foams’, inovasi mini kiosk tersebut hanya mengambil masa dua bulan untuk dihasilkan bersama-sama pasukan beliau, antara tujuan utama untuk mendidik komuniti mengenai kesedaran menjaga alam sekitar yang semakin kritikal pada masa kini, terutamanya pembuangan sisa plastik tanpa kawalan dan penguatkuasaan.

“Keutamaan saya dalam inovasi ini adalah berfokuskan mendidik dan membimbing komuniti setempat supaya mereka mampu mengenalpasti jenis plastik terbuang, memperkasakan ilmu pengetahuan sisa plastik melalui pembelajaran dan pengalaman, apa tindakan yang perlu diambil, seterusnya menjadikan mini kiosk ini sebagai penyelesaian kepada masalah sehingga terhasilnya produk akhir yang bermanfaat.

“Jika mini kiosk ini mampu disebar luas kepada komuniti, saya percaya komuniti akan lebih kreatif dan berminat menggunakan mesin tersebut untuk menghasilkan pelbagai produk berguna, apatah lagi ia mampu menjana ekonomi setempat melalui keberhasilan pelbagai produk, dan pada masa yang sama mengurangkan bebanan kos pelupusan sisa plastik di negara ini,” katanya di majlis Pelancaran Mini Kiosk Percetakan Plastik Terpakai USM yang pertama di Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Jelas beliau lagi, melalui mini kiosk ini juga pihaknya mampu melaksanakan kajian sosial terhadap kesedaran komuniti mengenai aktiviti kitar semula plastik dan di samping itu dapat membantu penguatkuasaan yang memerlukan masyarakat di negara ini mengasingkan bahan buangan plastik di rumah.

“Apa yang menggembirakan saya dan pasukan terlibat, walaupun tiada geran penyelidikan untuk melaksanakan inovasi ini dan hanya gabungan pengalaman dan pengetahuan serba sedikit oleh pasukan penyelidik, mini kiosk ini telah menarik minat Datuk Bandar Seberang Perai, Dato’ Sr. Hj. Rozali Hj. Mohamud dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memberi kerjasama sepenuhnya menjayakan produk tersebut,” katanya lagi.

Yang turut hadir ke majlis pelancaran adalah Datuk Bandar Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Hj. Rozali Hj. Mohamud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh; Setiausaha Bandaraya, Ir. Hjh. Rosnani Mahmod; Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd (mewakili Naib Canselor USM); dan pegawai-pegawai utama MBSP.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa