CERAMAH KERJAYA DAN PENGENALAN PRODUK SERTA OPERASI OLEH SYARIKAT TELEFLEX MEMBUKA PELBAGAI PELUANG KEPADA  PELAJAR KEJURUTERAAN POLIMER

13hb JULAI 2022 (Rabu) : Seramai sepuluh orang staf dari Syarikat Teleflex Medical Sdn. Bhd. yang terdiri dari Pengurus Bahagian Sumber Manusia dan Operasi Produk serta Pengurus Bahagian Latihan telah berbesar hati datang ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral bagi memberi peluang kepada pelajar Kejuruteraan Polimer untuk mengenali syarikat dengan lebih dekat. Kehadiran syarikat Teleflex ini juga dapat membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali produk yang dihasilkan oleh syarikat berasaskan bahan daripada polimer. Selain mengenali syarikat serta produk melalui slot taklimat pengenalan syarikat dan pengetahuan produk, taklimat berkaitan ceramah kerjaya, peluang untuk menjalani latihan industri juga dibuka kepada para pelajar dan membolehkan para pelajar yang bakal menjalani latihan industri pada bulan Ogos nanti untuk memohon serta memberi peluang kepada pelajar tahun empat yang bakal tamat pengajian untuk mencuba bagi memulakan kerjaya bersama Syarikat Teleflex.

Pameran dan demonstrasi penggunaan produk yang dihasilkan oleh syarikat juga dilakukan bagi menarik minat pelajar untuk mengetahui tentang lebih mendalam hasil dari proses polimer dalam pembelajaran pengajian mereka untuk diaplikasikan menjadi produk yang dapat dimanfaatkan dalam membantu masyarakat di luar melalui penghasilan produk-produk peralatan kesihatan.

Diharap dengan kehadiran syarikat besar seperti ini dapat mendedahkan pelajar kepada ilmu alam pekerjaan dan industri selain ilmu asas yang dipelajari di dalam kelas serta memberi persediaan mental dan fizikal yang cukup sebelum mereka menempuh cabaran di luar sana. Program ditamatkan dengan pemberian cenderamata oleh syarikat kepada setiap peserta yang hadir serta sesi fotografi sebagai kenangan.