PROGRAM INTERNATIONAL SUMMER SCHOOL 2023

Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral mengalu-alukan kehadiran Politeknik Akamigas Palembang, Indonesia ke Program International Summer School Universiti Sains Malaysia. Program Mineral Resources International Summer School (MIRESS) yang dianjurkan semula pada tahun 2023 ini setelah tertangguh selama tiga tahun dari 2020 hingga 2022 yang lalu akibat pandemik COVID-19. Program ini melibatkan penyertaan daripada 85 orang pelajar dari Politeknik Akamigas Palembang (PAP), Indonesia berlangsung dari 13 Ogos sehingga 26 Ogos 2023.

Program pengantarabangsaan sebegini adalah sangat sesuai dengan hasrat dan matlamat yang digagaskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program seumpama ini juga dapat menepati hasrat dan matlamat Sustainable Development Goals (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu SDG4 untuk Pendidikan yang berkualiti serta SDG17 untuk Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.

Perasmian program pada hari pertama telah dirasmikan oleh dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral yang mewakili pengarah kampus dan turut dihadiri direktur Politeknik Akamigas Palembang (PAP), Ir. Hajah Amiliza Miarti.

Program yang berlangsung selama dua minggu ini menawarkan beberapa aktiviti khususnya yang berkaitan dengan kejuruteraan perlombongan, mekanik batuan, petrologi dan alam sekitar di mana ianya melibatkan kelas pengajaran dan lawatan yang disesuaikan dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan para peserta.

MIRESS 2023 adalah suatu program unik peringkat antarabangsa dalam memenuhi keperluan peserta untuk meneroka peluang kerjaya dalam bidang sumber mineral dan perlombongan di mana ianya merangkumi beberapa aktiviti lawatan makmal dan latihan amali bagi memberikan pemahaman praktikal yang lebih baik tentang kejuruteraan sumber mineral serta analisis ujian.

Semoga Memorandum Perjanjian (MoA) antara PPKBSM dan PAP yang bermula pada tahun 2019 akan berterusan dan memberikan impak yang baik kepada pelajar dan warga staf kedua belah pihak.